Sunday, April 12, 2020

ISU DAN CABARAN BAHASA MELAYU SERTA LANGKAH MENGATASINYA


       Pada era kini, kebanggaan terhadap bahasa Melayu semakin tenggelam dek pelbagai isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi hari demi hari. Bahasa Melayu pada dahulunya pernah menjadi bahasa lingua franca dan merupakan antara bahasa terpenting yang digunakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam perdagangan, perhubungan antarabangsa, pemerintahan  dan sebagainya. Penggunaan bahasa Melayu pada hari ini terutamanya dalam medial sosial sudah menjadi semakin parah disebabkan timbulnya beberapa isu dan cabaran yang memerlukan jalan penyelesaian sebaik mungkin. Isu dan cabaran yang dihadapi dalam penggunaan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat kerana boleh menggugat keutuhanan dan keaslian bahasa Melayu.

     Antara isu dan cabaran penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial ialah persaingan dengan bahasa Inggeris di tanah air sendiri. Kebanyakan masyarakat pada hari ini lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris apabila ingin menyampaikan sesuatu maklumat di media sosial malahan ada juga sesetengah iklan yang disiarkan di media sosial menggunakan bahasa Inggeris.  Mereka yang tidak biasa menggunakan bahasa Melayu telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Bilangan pengguna bahasa Melayu semakin meningkat dari setahun ke setahun namun masih tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris.

     Selain itu, isu dan cabaran yang dihadapi di media sosial juga ialah kebanyakan masyarakat pada masa kini menggunakan bahasa rojak apabila berbual sesama mereka sama ada menerusi aplikasi whatsapp, wechat, twitter dan sebagainya.  Hal ini menyebabkan berlakunya kerancuan bahasa iaitu penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, fonologi, kosa kata dan sebagainya . Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu.

     Seterusnya, isu dan cabaran bahasa Melayu di media sosial juga juga ialah kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penonton majoritinya berbangsa Melayu. Perkara sedemikian amatlah tidak bagus kerana akan memberi pengaruh yang amat besar terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja kerana mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris sejak kecil lagi. Akibatnya, akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang akhirnya akan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya.

     Bahasa Melayu mengalami banyak isu dan cabarannya. Oleh itu, isu dan cabaran ini hendaklah diatasi sebelum menjadi lebih serius. Antara langkah untuk mengatasinya ialah dengan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi melalui media sosial hendaklah sentiasa dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa asing. Masyarakat lebih banyak menggunakan media sosial untuk memberi dan menerima sesuatu maklumat. Oleh sebab itu, perkara ini hendaklah sentiasa diamalkan dan diajarkan kepada semua golongan terutamanya golongan kanak-kanak supaya mereka lebih mengutamakan bahasa Melayu berbanding bahasa asing dalam kehidupan mereka dan seterusnya untuk melatih mereka supaya membiasakan diri berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

     Selain itu, para pengacara program di televisyen khususnya mampu menjadi wahana untuk mengatasi isu dan cabaran bahasa Melayu melalui ucapan mereka sepanjang mengendalikan sesuatu rancangan. Pembinaan bahasa akan bertambah kukuh jika penggunaan bahasa Melayu yang betul, baik dan berkesan dipratikkan dengan sebaiknya oleh pengacara dalam percakapan mereka serta tidak mengunakan bahasa asing. Pada saat bahasa Melayu sedang berkembang dengan pesatnya, kekeliruan dan penokok tambahan perbendaharaan kata semakin berleluasa. Oleh itu, pengacara perlu megambil cakna terhadap perkara tersebut kerana mampu memberi impak yang besar kepada penonton.

     Seterusnya, ibu bapa hendaklah menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu yang betul terhadap anak-anak dan tidak melatih anak-anak untuk menggunakan bahasa rojak ataupun bahasa dialek apabila berkomunikasi di media sosial. Penggunaan bahasa Melayu yang betul akan dapat mengelakkan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan anak-anak daripada berleluasa. Hal ini perlu dilakukan dari peringkat awal iaitu semasa anak-anak masih kecil supaya mereka akan terbiasa menggunakan bahasa Melayu yang betul. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul tanpa bahasa rojak perlu diterapkan dalam diri anak-anak supaya tidak menimbulkan masalah dalam berkomunikasi.

      Kesimpulannya, masyarakat teruatamanya bangsa Melayu sendiri hendaklah mempunyai kesedaran bahawa bahasa Melayu kini kian terhakis disebabkan adanya isu dan cabaran yang terpaksa di hadapi teruatamanya di media sosial. Masyarakat tidak sepatutnya memandang remeh terhadap perkara tersebut kerana bahasa Melayu merupakan bahasa warisan nenek moyang kita dan harus dipelihara dan dijaga sebaik mungkin malahan bahasa juga melambangkan bangsa.


SUMBER RUJUKAN


Nazli Ali, Nawi Ismail, Azahar Bahahari (2017). 160 Contoh Karangan SPM. Selangor:
    Percetakan JiwaBaru Sdb. Bhd

Nik Safiah Karim & Nuwairi Khaza’ai (1997). Bahasa Melayu dalam Cabaran. Kuala Lumpur:
     Persatuan Linguistik Malaysia.

Abdullah Hassan (2005). Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.
   Kuala Lumpur: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996). Tatabahasa bahasa Melayu: perkataan Siri pendidikan
    perguruan. Kuala lumpur: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood (2015).
    Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi?. Kuala Lumpur:
       PTS Professional Publishing.

Rozali bin Rajab (2011). Cabaran bahasa Melayu. Retrieved from



No comments:

Post a Comment